Wednesday 27 April 2011

Transaksi hartanah cecah RM100b

Nilai unjuran lonjak sekali lagi susulan pertumbuhan kukuh ekonomi negara

NILAI transaksi hartanah negara diunjurkan sekali lagi melepasi paras RM100 bilion tahun ini susulan pertumbuhan kukuh ekonomi negara dan disokong pelbagai langkah proaktif Kerajaan, kata Ketua Pengarah Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Abdullah Thalith Md Thani. 


“Pasaran hartanah negara dijangka terus memberangsangkan tahun ini disokong pelbagai langkah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), serta peruntukan dalam Bajet 2011 bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki rumah mampu milik. 

“Sungguhpun kita tidak menjangka jumlah bilangan transaksi hartanah tempatan tahun ini dapat menyamai pertumbuhan 11.4 peratus yang dicatat tahun lalu, tetapi nilainya dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah pasaran hartanah negara meningkat selari pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran empat penerbitan berkaitan sektor hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kuala Lumpur, semalam.


Empat penerbitan itu ialah Laporan Pasaran Harta 2010; Laporan Status Harta Tanah Suku Keempat 2010; Laporan Stok Harta Suku Keempat 2010; dan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia Suku Ketiga-Keempat 2010.


Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.



Mengikut Laporan Pasaran Harta 2010, sejumlah 376,583 transaksi hartanah didaftarkan tahun lalu, peningkatan 11.4 peratus berbanding 338,089 transaksi tahun sebelumnya.

Nilai transaksi tahun lalu berjumlah RM107.44 bilion, meningkat 32.6 peratus berbanding RM81.02 bilion tahun sebelumnya, buat pertama kalinya melepasi paras RM100 bilion.


Sektor kediaman terus memacu pasaran hartanah keseluruhan, menguasai 60.2 peratus daripada bilangan transaksi dan 47.1 peratus daripada nilai transaksi.

Sejumlah 226,874 transaksi hartanah kediaman didaftarkan tahun lalu bernilai RM50.65 bilion.

Bagaimanapun, pasaran kediaman utama mencatatkan jualan yang sedikit rendah tahun lalu berbanding tahun sebelumnya yang mana daripada 47,698 unit dilancarkan, hanya 21,799 unit dijual.


Kediaman kurang RM250,000 seunit terus dapat permintaan, membentuk 55.91 peratus daripada unit dijual manakala rumah teres kekal popular membentuk komposisi 56.1 peratus daripada jumlah pelancaran baru.


Sufian Abu Bakar - suffian@bharian.com.my

berita harian

Saturday 23 April 2011

Beli Rumah Buruk Dan Lama Pada Harga Mahal? Berbaloi Kah?

Saya tertarik hati untuk mengulas secara umum mengenai senario terkin dalam pelaburan hartanah oleh orang ramai yang kini berebut-rebut untuk membeli rumah akibat omokan 'kalau lambat membeli rumah, harga makin mahal'.
 
Baiklah, sebelum kita mengulas dengan lebih lanjut mengenai hal ini, mari kita renungkan mengenai rumah yang kita ingin beli, iaitu, lokasi rumah yang kita ingin beli, itu soalan pertama yang perlu kita kaji. Kedua, jenis rumah yang kita ingin beli. Ketiga, usia rumah yang kita ingin beli (subsale) dan akhir sekali, soalan paling penting ialah, berbaloikah kita membeli rumah yang kita ingin beli?

Dalam tulisan ini, saya akan mengemukan beberapa contoh umum terhadap rumah-rumah yang sedang dijual sekarang di sekitar Kuala Lumpur, yang pada pendapat saya, amat tidak logik harganya. 


Mengapa saya berkata demikian? Saya akan terangkan satu persatu di dalam perenggan-perenggan di bawah. Pemerhatian saya terhadap harga rumah sejak akhir-akhir ini membuatkan saya tertanya soalan yang paling akhir itu, berbaloikah kita membeli rumah yang kita ingin beli itu?


  •  Baiklah, jika kita perhatikan, rumah terpakai (subsale) yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur adalah rumah yang dibina lebih daripada 15 tahun yang lalu. Ada juga rumah yang dibina pada awal-awal pemahsyuran Kuala Lumpur sebagai Bandaraya pada tahun 1974 sehinggalah ke akhir tahun 70-an. Banyak yang telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan perumahan atau apartment yang dibina pada tahun 1980-an. Rumah-rumah tersebut pada tahun 2011 boleh diklasifikasikan sebagai rumah LAMA.

  • Pada tahun dibina (penghujung tahun 80-an), rumah pangsa di Taman Melati (saya dengar), dijual pada harga RM30-40 ribu atau kurang. Rumah tersebut dimamah usia 5 tahun kemudian dan dijual pada harga yang tertentu, boleh jadi RM50 ribu. Pada masa itu, tiada perkhidmatan LRT di Taman Melati dan rumah di pangsa Wangsa Maju tempat letaknya kompleks beli belah Alpha Angle mungkin lebih mahal daripada rumah pangsa Taman Melati.

  •  Pada tahun 2000, rumah pangsa tersebut semakin dimamah usia dan banyak pembaikan perlu dilakukan terhadap rumah-rumah tersebut seperti pendawaian, pintu dan tingkap yang rosak dan sebagainya. Tetapi rumah-rumah tersebut semakin meningkat harganya.

  •  Pada tahun 2010, rumah-rumah tersebut sudahpun berusia 20 tahun dan banyak kerosakan berlaku seperti sistem paip, perparitan, pendawaian, kondisi dan sebagainya, tetapi ia dijual pada harga RM80 ribu! Disini kita dapat melihat bahawa rumah dijual bukan berdasarkan keadaannya, tetapi kerana mengikut permintaan yang tinggi di sesebuah kawasan. Semakin banyak kemudahan, semakin tinggi harga sesebuah rumah, walaupun rumah tersebut berusia 30 tahun sekalipun!

  • Perlu diingat, nilai hartanah diberikan berdasarkan prasara, permintaan dan sebagainya. Prasarana yang banyak pula memungkinkan sesuatu kawasan itu semakin sempit dan orang luar mula meletakkan kenderaan di kawasan perumahan sesuka hati kerana ingin menggunakan perkhidmatan LRT. Jadi, nilai hartanah naik adalah bersamaan kesesakan yang boleh mempengaruhi minda dan kedamaian. Rumah pula semakin hari semakin buruk dan banyak peralatan yang perlu diperbaiki.
 Jika kita melihat tokoh hartanah terkemuka di Amerika iaitu Donald Trump, melalui rancangan The Apprentice yang menyaksikan ramai agen hartanah yang menukar sebuah rumah buruk kepada yang lebih cantik melalui pengubahsuaian dan memberi nilai baru yang lebih tinggi terhadap rumah tersebut! Sebagai pembeli, sudah tentu mereka berasa gembira kerana rumah yang hendak dibeli kelihatan baru. Berlainan pula dengan sesetengah agen hartanah yang menjalankan perniagaan atas angin sahaja di sekitar kita. Mereka menjalankan pernigaan agensi rumah hanya dengan mencari tuan rumah yang ingin menjual rumah, dan mencari pembeli yang ingin membeli rumah yang ingin dijual itu tanpa melakukan apa-apa pengubahsuaian terhadap rumah tersebut. 


Manakala penjual rumah pula, dengan tidak melakukan apa-apa pengubahsuaian terhadap rumah tersebut, terus sahaja meletakkan harga yang lebih tinggi daripada nilaian pihak bank hanya untuk mengaut keuntungan yang lebih untuk penjualan rumah mereka, dengan alasan kawasan tersebut adalah 'gold mine'! Memang benar, rumah tersebut dijual mengikut harga pasaran tanah di kawasan tersebut, tetapi pembeli bukanlah mahu tinggal di atas tanah, mereka mahu tinggal di dalam rumah, sudah semestinya mereka mahukan rumah yang cantik untuk dibeli. Rumah yang buruk dan tidak terurus (bukan semua, tetapi kebanyakan) terus sahaja dijual dan pembeli pula yang terpaksa membaiki segala kerosakan yang ada di dalam rumah tersebut. Apabila dipersoalkan mengenai hal ini, ada penjual yang terus menyatakan kepada pembeli "awak minat nak beli, awak beli, kalau awak tak minat, awak boleh cari rumah lain!"


Berbaloikah membeli rumah yang buruk pada harga yang mahal? Bagi saya memang tidak berbaloi. Lebih baik sahaja saya membeli rumah kondo di Sentul Utama yang dijual pada harga RM170-190 tetapi rumah yang dijual adalah rumah yang baru! Tambah RM100 tidak mengapa, ia berbaloi sekiranya diukur daripada keadaan rumah tersebut yang baru, keluasan yang lebih, banyak kemudahan di kawasan persekitaran dan tiada banyak kerosakan di dalam rumah yang hendak dibeli.


Tirulah gaya Donald Trump menaikkan nilai hartanah, bukan semata-mata menaikkan harga rumah yang buruk dan usang atas alasan terletak di kawasan segitiga emas!



Sumber :terima kasih kepada penulis Amay Hamidi.  www.amayhamidi.com


Artikel yang baik memberi pendidikan dan panduan. Pun begitu, jika anda ingin menjadi seorang pelabur dalam industri hartanah, selain faktor yang dikemukakan diatas, satu lagi perkara penting yang harus anda perhatikan ialah profile anda. 

Jika hartanah dikawasan 'panas' dengan harga yang agak mahal, namun jika selepas dikaji, potensi pelaburan yang baik, ia tidak menjadi kesalahan untuk anda membelinya, begitu juga sebaliknya, jika anda melihat sesuatu kawasan masih dalam perancangan pembangunan tetapi melalui sumber dan plan perancangan yang anda kaji dan ketahui, tidak salah untuk membelinya sewaktu masih dalam pembenaan kerana apabila satu-satu projek itu siap, nilai tambah keatas hartanah tersebut mungkin telah meningkat 20-40% dari harga asal belian adalah berbaloi untuk anda membelinya dan menunggu satu tempoh, agar mendapat keuntungan dari keadaan pasaran.

Justeru, anda haruslah belajar untuk mengenal pasti keadaan pasaran hartanah, sebelum membeli atau melabur, buat sedikit kerja rumah, belajar dan tanyakan dengan agen yang berkelayakan dan dapatkan sebanyak info sebelum membuat keputusan. 

Ingat! bukan lambat, tapi smart agar bermanfaat~.