Wednesday 27 April 2011

Transaksi hartanah cecah RM100b

Nilai unjuran lonjak sekali lagi susulan pertumbuhan kukuh ekonomi negara

NILAI transaksi hartanah negara diunjurkan sekali lagi melepasi paras RM100 bilion tahun ini susulan pertumbuhan kukuh ekonomi negara dan disokong pelbagai langkah proaktif Kerajaan, kata Ketua Pengarah Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Abdullah Thalith Md Thani. 


“Pasaran hartanah negara dijangka terus memberangsangkan tahun ini disokong pelbagai langkah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), serta peruntukan dalam Bajet 2011 bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki rumah mampu milik. 

“Sungguhpun kita tidak menjangka jumlah bilangan transaksi hartanah tempatan tahun ini dapat menyamai pertumbuhan 11.4 peratus yang dicatat tahun lalu, tetapi nilainya dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah pasaran hartanah negara meningkat selari pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran empat penerbitan berkaitan sektor hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kuala Lumpur, semalam.


Empat penerbitan itu ialah Laporan Pasaran Harta 2010; Laporan Status Harta Tanah Suku Keempat 2010; Laporan Stok Harta Suku Keempat 2010; dan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia Suku Ketiga-Keempat 2010.


Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.



Mengikut Laporan Pasaran Harta 2010, sejumlah 376,583 transaksi hartanah didaftarkan tahun lalu, peningkatan 11.4 peratus berbanding 338,089 transaksi tahun sebelumnya.

Nilai transaksi tahun lalu berjumlah RM107.44 bilion, meningkat 32.6 peratus berbanding RM81.02 bilion tahun sebelumnya, buat pertama kalinya melepasi paras RM100 bilion.


Sektor kediaman terus memacu pasaran hartanah keseluruhan, menguasai 60.2 peratus daripada bilangan transaksi dan 47.1 peratus daripada nilai transaksi.

Sejumlah 226,874 transaksi hartanah kediaman didaftarkan tahun lalu bernilai RM50.65 bilion.

Bagaimanapun, pasaran kediaman utama mencatatkan jualan yang sedikit rendah tahun lalu berbanding tahun sebelumnya yang mana daripada 47,698 unit dilancarkan, hanya 21,799 unit dijual.


Kediaman kurang RM250,000 seunit terus dapat permintaan, membentuk 55.91 peratus daripada unit dijual manakala rumah teres kekal popular membentuk komposisi 56.1 peratus daripada jumlah pelancaran baru.


Sufian Abu Bakar - suffian@bharian.com.my

berita harian

No comments:

Post a Comment